12 December 2010

JEJAK MAKLUMAT ANJURAN PPAT DENGAN KERJASAMA BTPNT DAN JKM TERENGGANU


Walaupun negeri Terengganu kini telahpun memasuki fasa musim tengkujuh, penganjuran pertandingan Jejak Maklumat yang dikelolakan oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama BTPN Terengganu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya meskipun keadaan cuaca kurang mengizinkan.

Pertandingan yang diadakan pada 4 Disember 2010 bertempat di PPAT ini telah disertai oleh 150 orang peserta yang sebahagian besarnya terdiri daripada ahli Pusat Aktiviti Kanak-Kanak JKM Kuala Terengganu dan selebihnya adalah daripada peserta-peserta “walk-in”. Seramai 40 orang petugas yang melibatkan ketiga-tiga pihak ini hadir membantu bagi memastikan program ini berjalan lancar.


Sebanyak lima segmen telah diadakan sepanjang pertandingan ini berlangsung iaitu Sampaikan Pesananku, Isu Semasa, Pemikiran Kreatif, Uji Minda dan Kemahiran Perpustakaan yang diketuai oleh Encik Zaidan bin Jamaludin, Pegawai Teknologi Pendidikan UPSP BTPNT. Di akhir pertandingan, satu sesi rumusan telah disampaikan oleh Encik Nize bin Muhammad, Ketua Unit Perkhidmatan Sumber Pendidikan BTPNT. Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang telah disempurnakan oleh Cik Mardiah bt. Mohamad, Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuala Terengganu dan Puan Rohayah bt. Yahya yang mewakili Tuan Pengarah PPAT.


Diharapkan jalinan hubungan kerjasama BTPN Terengganu bersama-sama kedua-dua agensi ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi melestarikan pendidikan di negeri Terengganu.