19 April 2015

PROFIL PKG




PROFIL PKG


Pusat Kegiatan Guru (PKG)  adalah sebuah institusi yang menjadi pemangkin untuk merangsang pembangunan professional guru-guru khususnya bagi meningkatkan pengetahuan dan pembudayaan penggunaan teknologi pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan dan pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS). Ia selaras dengan matlamat pembestarian pendidikan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Disamping itu, PKG juga dijadikan pusat perkembangan professional untuk guru-guru dan masyarakat setempat seperti badan-badan berkanun dan agensi-agensi kerajaan. Konsep pengoperasian PKG adalah bermula dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai induk di peringkat kebangsaan dan diikuti oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri sebagai penaung di peringkat negeri. PKG beroperasi di peringkat zon di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Penubuhan PKG bermula dengan tertubuhnya Pusat Sumber Tempatan (PST) di 302 buah sekolah pada tahun 1979. Pada tahun 1981, PST telah diubah nama kepada Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) di Kedah, Kelantan Terengganu dan Pahang. Pada tahun 1986, nama PMD telah diubah kepada Pusat Sumber Pendidikan Daerah (PSPD). Setiap PSPD memberi khidmat kepada 15 hingga 20 buah sekolah. Fungsi utama PSPD ialah mengatasi dan memperbaiki jurang perbezaan pencapaian pendidikan luar dan dalam bandar dengan menyediakan perkhidmatan pinjaman alatan dan membina bahan pengajaran kos rendah. Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat, menjadikan PSPD sebagai agen untuk membiasakan guru-guru khasnya di luar bandar dengan asas teknologi pendidikan (Teknopen).

Seterusnya pada tahun 1990, nama PSPD ditukar kepada Pusat Kegiatan Guru (PKG). Dengan menggunakan peruntukan Bank Dunia, sebanyak 200 buah bangunan PKG telah dibina dan 150 buah lagi telah ditempatkan di bangunan sekolah. Nama PKG dianggap sesuai untuk menggantikan nama PSPD bagi mengelakkan kekeliruan pada istilah ‘Daerah’, memberi gambaran sebenar tentang aktiviti yang dijalankan di pusat berkenaan.

Pada tahun 1995, PKG telah menerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam sebagai pengiktirafan  di atas kejayaan yang telah dicapai. Berasaskan pekeliling KP (PP) 0050/126/1 Jld. 7 (23) bertarikh 30 Oktober 1995, mulai 1 Januari 1996, PKG diletakkan sepenuhnya di bawah pengurusan PSPN, sementara PSPN pula diletakkan di bawah Bahagian Tekologi Pendidikan, KPM.

Perubahan telah berlaku pada tahun-tahun berikutnya sesuai dengan peranannya yang lebih luas bersesuaian dengan fungsi PKG itu sendiri sebagai satu pusat perbincangan dalam kalangan warga guru setempat di atas isu-isu dan masalah professional. Ianya terkandung dalam surat Ketua Pengarah Pendidikan pada 14 Ogos 1990.

Pada hari ini, fokus utama PKG adalah berlandaskan kepada perubahan semasa merangkumi Pembestarian Sekolah (termasuk Inisiatif ICT di sekolah), Teknologi Pendidikan, Pembangunan Pusat Sumber dan Program Nilam. Bagi merealisasikan hasrat ini, setiap PKG mempunyai peranan berikut :

·         Pemantauan ke sekolah
·         Aktiviti seperti seperti latihan, bengkel, khidmat bantu, khidmat nasihat dan “help desk”Di samping itu, Jawatankuasa Pengurusan Aktiviti (JKPA) PKG merupakan tulang belakang dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti sokongan yang berkaitan.


Keberkesanan sesebuah PKG bergantung kepada tiga elemen iaitu pemantauan PKG ke sekolah yang berkesan, aktiviti berpusat PKG termasuk latihan, bengkel dan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan secara berkesan oleh JKPA.

Di Terengganu, terdapat sebanyak 22 buah PKG yang terletak di dalam tujuh daerah pendidikan, iaitu 12 buah PKG memiliki bangunan sendiri manakala 10 buah lagi adalah berbangunan khas.
Bagi melicinkan pentadbiran dan pengurusan PKG, empat jawatankuasa kerja telah ditubuhkan di semua PKG iaitu :

1. Jawatankuasa Kerja Teknologi Maklumat dan Komunikasi
2. Jawatankuasa Kerja Pembangunan PSS
3. Jawatankuasa Kerja Latihan dan Penghasilan
4. Jawatankuasa Kerja Sosial dan Kebajikan

PKG Tok Jiring merupakan salah sebuah daripada 22 buah PKG Negeri Terengganu. Bangunan PKG Tok Jiring terletak di dalam Sekolah Kebangsaan Tok Jiring. Pada masa ini, PKG Tok Jiring mempunyai 21 buah sekolah ahli. Sekolah rendah sebanyak 14 buah dan sekolah menengah adalah 7 buah. Jarak di antara PKG ke JPNT dan PPDKT adalah 12.2 km manakala jarak PKG ke BTPNT adalah 26 km.