PROFIL PKG
Pusat Kegiatan Guru (PKG) adalah sebuah institusi yang
menjadi pemangkin untuk merangsang pembangunan professional guru-guru khususnya
bagi meningkatkan pengetahuan dan pembudayaan penggunaan teknologi pendidikan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan dan pengurusan Pusat
Sumber Sekolah (PSS). Ia selaras dengan matlamat pembestarian pendidikan dan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Disamping itu, PKG juga dijadikan pusat perkembangan professional
untuk guru-guru dan masyarakat setempat seperti badan-badan berkanun dan
agensi-agensi kerajaan. Konsep pengoperasian PKG adalah bermula dengan Bahagian Teknologi
Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai induk di peringkat
kebangsaan dan diikuti oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri sebagai
penaung di peringkat negeri. PKG beroperasi di peringkat zon di setiap Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD).
Penubuhan PKG bermula dengan tertubuhnya Pusat Sumber Tempatan
(PST) di 302 buah sekolah pada tahun 1979. Pada tahun 1981, PST telah diubah
nama kepada Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) di Kedah, Kelantan Terengganu
dan Pahang. Pada tahun 1986, nama PMD telah diubah kepada Pusat Sumber
Pendidikan Daerah (PSPD). Setiap PSPD memberi khidmat kepada 15 hingga 20 buah sekolah.
Fungsi utama PSPD ialah mengatasi dan memperbaiki jurang perbezaan pencapaian
pendidikan luar dan dalam bandar dengan menyediakan perkhidmatan pinjaman
alatan dan membina bahan pengajaran kos rendah. Kementerian Pendidikan Malaysia
berhasrat, menjadikan PSPD sebagai agen untuk membiasakan guru-guru khasnya di
luar bandar dengan asas teknologi pendidikan (Teknopen).
Seterusnya pada tahun 1990, nama PSPD ditukar kepada Pusat
Kegiatan Guru (PKG). Dengan menggunakan peruntukan Bank Dunia, sebanyak 200
buah bangunan PKG telah dibina dan 150 buah lagi telah ditempatkan di bangunan
sekolah. Nama PKG dianggap sesuai untuk menggantikan nama PSPD bagi mengelakkan
kekeliruan pada istilah ‘Daerah’, memberi gambaran sebenar tentang aktiviti
yang dijalankan di pusat berkenaan.
Pada tahun 1995, PKG telah menerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan
Awam sebagai pengiktirafan di atas
kejayaan yang telah dicapai. Berasaskan pekeliling KP (PP) 0050/126/1 Jld. 7
(23) bertarikh 30 Oktober 1995, mulai 1 Januari 1996, PKG diletakkan sepenuhnya
di bawah pengurusan PSPN, sementara PSPN pula diletakkan di bawah Bahagian
Tekologi Pendidikan, KPM.
Perubahan telah berlaku pada tahun-tahun berikutnya sesuai dengan
peranannya yang lebih luas bersesuaian dengan fungsi PKG itu sendiri sebagai
satu pusat perbincangan dalam kalangan warga guru setempat di atas isu-isu dan
masalah professional. Ianya terkandung dalam surat Ketua Pengarah Pendidikan
pada 14 Ogos 1990.
Pada hari ini, fokus utama PKG adalah berlandaskan kepada
perubahan semasa merangkumi Pembestarian Sekolah (termasuk Inisiatif ICT di
sekolah), Teknologi Pendidikan, Pembangunan Pusat Sumber dan Program Nilam.
Bagi merealisasikan hasrat ini, setiap PKG mempunyai peranan berikut :
· Pemantauan ke sekolah
· Aktiviti seperti seperti latihan, bengkel, khidmat bantu, khidmat nasihat dan “help desk”Di samping itu, Jawatankuasa Pengurusan Aktiviti (JKPA) PKG merupakan tulang belakang dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti sokongan yang berkaitan.
Keberkesanan sesebuah PKG bergantung kepada tiga elemen iaitu
pemantauan PKG ke sekolah yang berkesan, aktiviti berpusat PKG termasuk
latihan, bengkel dan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan secara
berkesan oleh JKPA.
Di
Terengganu, terdapat sebanyak 22 buah PKG yang terletak di dalam tujuh daerah
pendidikan, iaitu 12 buah PKG memiliki bangunan sendiri manakala 10 buah lagi
adalah berbangunan khas.
Bagi
melicinkan pentadbiran dan pengurusan PKG, empat jawatankuasa kerja telah
ditubuhkan di semua PKG iaitu :
1.
Jawatankuasa Kerja Teknologi Maklumat dan Komunikasi
2.
Jawatankuasa Kerja Pembangunan PSS
3.
Jawatankuasa Kerja Latihan dan Penghasilan
4. Jawatankuasa
Kerja Sosial dan Kebajikan
PKG Tok Jiring merupakan salah sebuah
daripada 22 buah PKG Negeri Terengganu. Bangunan PKG Tok Jiring terletak di
dalam Sekolah Kebangsaan Tok Jiring. Pada masa ini, PKG Tok Jiring mempunyai 21
buah sekolah ahli. Sekolah rendah sebanyak 14 buah dan sekolah menengah adalah 7
buah. Jarak di antara PKG ke JPNT dan PPDKT adalah 12.2 km manakala jarak PKG ke
BTPNT adalah 26 km.